PETISYEN

FOMCA - PETISYEN SERUAN SEGERA UNTUK CAMPUR TANGAN REGULATORI TERHADAP KENAIKAN PREMIUM INSURANS
KAMI MEMERLUKAN SOKONGAN RAKYAT MALAYSIA UNTUK MENANDATANGAN PETISYEN INI

SERUAN SEGERA UNTUK CAMPUR TANGAN REGULATORI TERHADAP KENAIKAN PREMIUM INSURANS DAN PENUBUHAN JAWATANKUASA KAWALSELIA SYARIKAT INSURANCE DAN HOSPITAL SWASTA DI BAWAH PMO

Kepada Gabenor Bank Negara Malaysia,
Kami, rakyat Malaysia, mewakili suara pengguna yang terjejas akibat kenaikan premium insurans yang tidak wajar dan tidak dapat diterima. Kenaikan ini memberi beban besar kepada ramai pengguna, terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang kini berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Keputusan ini dibuat pada ketika industri insurans melaporkan keuntungan besar, menimbulkan persoalan sama ada kenaikan ini benar-benar diperlukan dan wajar.
Hospital swasta terus beroperasi dengan pengawasan minimum, menyebabkan kenaikan kos rawatan perubatan yang tidak terkawal. Inflasi perubatan ini memberi kesan langsung terhadap kenaikan premium insurans, dan tanpa pembaharuan sistematik, beban ini diletakkan secara tidak adil ke atas pengguna. Di samping itu, terdapat keperluan mendesak untuk mempertimbangkan pelaksanaan Insurans Kesihatan Sosial bagi meringankan kos sara hidup dan memastikan penjagaan kesihatan kekal boleh diakses dan mampu milik untuk semua. Oleh itu, kami menyeru Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengambil tindakan segera bagi melindungi kepentingan pengguna dan memastikan kenaikan premium ini adalah telus dan wajar.
KEPRIHATINAN KAMI
Kami ingin menyatakan kebimbangan kami mengenai perkara berikut:
  1. Ketelusan dan Justifikasi: Pengguna tidak diberikan maklumat atau data yang mencukupi mengenai kenaikan premium ini. Tanpa ketelusan, kami tidak dapat menilai keadilan keputusan ini.
  2. Kesan Terhadap Kemampuan dan Perlindungan Insurans: Kenaikan premium akan menjadikan perlindungan insurans asas tidak mampu milik bagi ramai rakyat Malaysia. Ini boleh menyebabkan ramai kehilangan perlindungan penting, terutamanya golongan rentan seperti pesara dan keluarga berpendapatan tunggal.
  3. Beban Kewangan Tambahan: Kenaikan premium ini akan membebankan lagi pengguna yang sudah terhimpit oleh inflasi yang memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah. Kami bimbang peningkatan ini akan mengurangkan kuasa beli pengguna dan menjejaskan kestabilan kewangan ramai keluarga.
  4. Pengambilan Keuntungan yang Tidak Dikawal dalam Sektor Kesihatan: Hospital swasta menyumbang secara signifikan kepada inflasi perubatan yang tidak terkawal. Industri insurans tidak seharusnya bergantung kepada kos yang melambung ini sebagai alasan untuk menaikkan premium. Tambahan pula, ganjaran mewah dan bonus besar yang diberikan oleh syarikat insurans menunjukkan bahawa kenaikan ini bukan disebabkan oleh keperluan tetapi bertujuan mengekalkan keuntungan yang besar.
  5. Risiko Kejatuhan Sistem Insurans Perubatan: Jika insurans menjadi tidak mampu milik, ramai akan bergantung kepada penjagaan kesihatan awam. Ini akan membebankan sistem yang sudah sedia tegang, mengurangkan aksesibiliti dan kualiti pe
CADANGAN KAMI
Kami, yang menandatangani petisyen ini, mencadangkan langkah-langkah berikut kepada Bank Negara Malaysia dan pihak berkaitan:
  1. Penubuhan Jawatankuasa di Bawah PMO: Sebuah jawatankuasa khas di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) perlu dibentuk, melibatkan pihak berkepentingan bebas, untuk menyiasat dakwaan inflasi perubatan yang sering digunakan oleh industri sebagai alasan kenaikan premium. Jawatankuasa ini juga perlu mempunyai kuasa untuk menyemak dan meluluskan semua kenaikan premium insurans pada masa hadapan berdasarkan justifikasi kukuh. Selain itu, jawatankuasa ini perlu diberi mandat untuk mengawal caj hospital swasta dan menyiasat tuntutan berlebihan oleh hospital atau syarikat insurans.
  2. Pelaksanaan Insurans Kesihatan Sosial:
    1. Sistem Insurans Kesihatan Sosial perlu diperkenalkan sebagai penyelesaian mampan untuk mengurangkan pergantungan terhadap insurans swasta dan menangani kos sara hidup. Sistem ini akan:
    2. Membahagikan tanggungjawab pendanaan antara majikan, pekerja, dan subsidi kerajaan.
    3. Memastikan akses yang adil kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan asas untuk semua rakyat Malaysia.
    4. Memberikan kelegaan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terkesan oleh kos perubatan yang meningkat.
  3. Ketelusan Penuh oleh Syarikat Insurans: Penyedia insurans mesti mendedahkan justifikasi aktuari terperinci bagi kenaikan premium. Rundingan awam perlu dijalankan bagi memastikan suara pengguna didengari.
  4. Pengawalseliaan Hospital Swasta: Garis panduan harga perlu dilaksanakan dalam sektor penjagaan kesihatan swasta untuk mengawal amalan inflasi dan memastikan kos adalah adil serta telus.
  5. Moratorium ke atas Kenaikan Premium: Perlaksanaan had sementara ke atas kenaikan premium sehingga kajian menyeluruh terhadap struktur kos insurans selesai.
  6. Kempen Kesedaran Awam: Melancarkan kempen untuk mendidik pengguna tentang hak mereka sebagai pengguna insurans dan memastikan mereka mempunyai maklumat mencukupi untuk membuat keputusan yang bijak.
KENAPA ANDA HARUS MENANDATANGANI PETISYEN INI
Kami percaya bahawa sistem insurans yang adil dan mampu milik adalah hak setiap rakyat Malaysia. Kami tidak boleh berdiam diri apabila industri yang sepatutnya memberi perlindungan kepada rakyat terus mengambil keuntungan secara tidak terkawal dan membebankan pengguna. Kegagalan untuk bertindak sekarang akan menyebabkan lebih ramai rakyat kehilangan perlindungan insurans yang penting, sekali gus menjejaskan kesihatan dan keselamatan kewangan negara.

Dengan menandatangani petisyen ini, anda:
  • Menunjukkan bantahan terhadap kenaikan premium insurans yang tidak wajar.
  • Menyuarakan sokongan anda untuk ketelusan dan akauntabiliti yang lebih besar dalam industri insurans.
  • Menyokong usaha untuk mengekalkan insurans yang mampu milik dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.
SERTAI KAMI DALAM PERJUANGAN INI

FOMCA juga mengalu-alukan mana-mana industri atau organisasi masyarakat sivil yang ingin menyokong dan bekerjasama dalam usaha ini. Kerjasama dan tindakan kolektif adalah penting untuk mencapai perubahan yang bermakna dan melindungi hak pengguna. Kami berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan memerlukan sokongan anda untuk berjaya.

SERTAI DAN TANDATANGANI SEKARANG

Marilah kita bersatu dalam menyuarakan bantahan terhadap kenaikan premium insurans yang tidak wajar. Tandatangan anda penting untuk menunjukkan kepada Bank Negara Malaysia bahawa rakyat Malaysia menolak amalan yang menjejaskan keselamatan kewangan dan penjagaan kesihatan kita.

Tandatangan petisyen ini untuk menyokong pengguna Malaysia!

Question Title

* 1. NAMA

Question Title

* 2. Nama Syarikat Insurans Anda

Question Title

* 3. Negeri

T